SABAK BERNAM - Seorang tukang masak di pasar sehari di Sekinchan, maut selepas terlibat dalam kejadian langgar lari di Kilometer 53 Jalan Teluk Intan-Klang, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.10 pagi itu, mangsa, Mohamad Nazarrudin Mohd Zulkefli, 20, beralamat di Tali Air 10, Pasir Panjang, Sekinchan, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Dinamik dipercayai dilanggar sebuah kenderaan yang masih belum dikenal pasti.

"Sehingga kini, kenderaan yang terlibat dalam pelanggaran ini masih belum membuat sebarang laporan polis," katanya kepada Sinar Harian.

Nor Azmi berkata, hasil siasatan awal polis mendapati, mangsa bersama rakannya dari Kampung Batu 23 Sungai Nibong, ingin ke rumah seorang rakannya di Sungai Haji Dorani.

"Menurut rakan mangsa, Mohamad Nazarrudin dipercayai terlepas lorong ke rumah rakannya itu.

"Rakan mangsa yang bimbang sesuatu tidak diingini kemudiannya mencari mangsa dan tergamam sebaik melihat mangsa berada di atas jalan raya sebelah kanan menghala ke Klang," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk dibedah siasat.