SABAK BERNAM - 07 Ogos -  Bayangkan kasut terpakai atau bundle berjenama seperti  Nike, Converse atau Adidas, kita pasti terfikir harganya boleh mencecah ratusan sehingga ribuan ringgit.

Menariknya, barangan ini mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan peminatnya sehingga ada yang sanggup berjimat cermat demi mendapatkan kasut kegemaran yang diidamkan selama ini.

Di daerah Sabak Bernam misalnya, sebuah kedai yang diberi nama Village Bundle terletak di Kampung Parit 9 Barat, Sungai Besar menawarkan pelbagai pilihan kasut dan pakaian terpakai mengikut cita rasa pelanggan.

Pengusahanya, Mohd Syauqi Ruzaini Mohd Sharif, 24, yang berkecimpung dalam perniagaan bundle sejak Oktober 2016 berkata, perniagaan yang diusahakannya itu mendapat sambutan menggalakkan terutamanya pembelian secara atas talian.

"Biarpun lokasi kedai berada di ceruk kampung, ia tak menghalang saya untuk mengembangkan perniagaan ini demi memberi kepuasan kepada pelanggan.

"Malah, sokongan dari ibu dan isteri secara tidak langsung menguatkan semangat saya untuk menceburi bidang ini dengan lebih mendalam," katanya.

Barang berjenama mampu milik

Menurut Syauqi, setiap perniagaan mempunyai cabaran serta rintangan dan dia sendiri tidak terlepas dari perkara itu.

"Cabaran utama yang dihadapi ialah meyakinkan penduduk sekitar bahawa mereka sebenarnya mampu membeli barangan terpakai berjenama dengan harga mampu milik.

"Malah, ada antara mereka (penduduk) tidak yakin harga yang ditawarkan tidak munasabah dengan jenama yang dijual," katanya.

Menurut Syauqi, dia kini menumpukan sepenuhnya perniagaan atas talian yang mempunyai pasaran tinggi pengumpul.

image
Syauqi mendapat sokongan sepenuhnya daripada ibu dan isterinya dalam perniagaan itu.

Tumpu jualan atas talian

"Pelanggan atas talian memang tinggi, boleh kata setiap hari ada pelanggan datang buat tempahan dan mereka ini terdiri daripada peminat bundle seluruh negara" katanya.

Katanya, dia menceburi bidang perniagaan kerana sudah jemu 'makan gaji' dengan syarikat swasta.

Menurut anak bongsu daripada lima beradik itu, berbekalkan modal RM15, 000 dia mula terlibat aktif dalam penjualan pakaian dan kasut terpakai.

Ujarnya, sehingga kini, dia mampu meraih keuntungan kasar RM2, 000 seminggu dan merancang meningkatkan jualan pada masa depan.

"Saya nak buka satu lagi cawangan di Pekan Sungai Besar bagi mengembangkan lagi bisnes ini.

"Jika ada rezeki, saya juga ingin menarik anak-anak muda keluar daripada kepompong selesa dan menerokai peluang perniagaan bagi menjana pendapatan," katanya.