Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

Dah sampai masa ada jeti baharu!

Dah sampai masa ada jeti baharu!
 
 
 

Sungai Besar - 26 Ogos - KIRA-KIRA 200 nelayan bot pukat tunda di Bagan Sungai Besar, di sini, merayu kerajaan negeri memberi kebenaran kepada mereka membina jeti pendaratan ikan baharu berhampiran Jalan 6, bagan berkenaan.

Mereka mendakwa, jeti sedia ada tidak mampu menampung jumlah bot pukat tunda yang semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Pengerusi Persatuan Nelayan Hai San Sungai Besar, Sia Chock Sung berkata, sudah sampai masanya kerajaan negeri membenarkan pembinaan jeti baharu bagi menangani masalah berkenaan.

"Kebanyakan jeti nelayan yang ada ini sudah berusia lebih 40 tahun," katanya kepada Sinar Harian.

Chock Sung berkata, muara sungai yang menjadi kawasan menambat bot nelayan dan pendaratan ikan pula semakin sempit.

"Bayangkanlah, muara sungai hanya berkelebaran 25 meter, sedangkan lebar sebuah bot pukat tunda sahaja lapan meter.

"Ini bermakna, hanya dua bot sahaja boleh ditambat kiri dan kanan jeti, manakala laluan tengah pula untuk laluan bot lain untuk masuk ke jeti atau keluar ke laut," katanya.

Sehubungan itu, katanya, nelayan berharap kerajaan memberikan kebenaran kepada pengusaha bot pukat tunda membina jeti di kawasan terbabit.

Daif, undang bahaya

"Kalau kerajaan beri tapak sahaja pun dah memadai, segala kos pembinaan kami tanggung sendiri.

"Namun, jika kerajaan nak keluar peruntukan bina (jeti) baharu, kami amat mengalu-alukan termasuk mengenakan caj sewa dan sebagainya kepada nelayan," katanya.

Chock Sung berkata, jeti sedia ada pada masa sekarang di kawasan itu terlalu daif dan mengundang bahaya kepada nelayan.

Katanya, aspek keselamatan perlu dititikberatkan meskipun tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

"Jeti ini sudah usang dan hanya tunggu masa nak roboh disebabkan keadaan strukturnya yang tak kukuh," katanya.

Setiausaha Persatuan Nelayan Hai San Sungai Besar, Kee Wei Seng berkata, kerajaan negeri perlu segera membantu nelayan dalam usaha merancakkan lagi sektor perikanan di kawasan itu.

Katanya, peningkatan jumlah bot pukat tunda membuktikan industri perikanan terus berkembang pesat.

"Kami berdepan masalah untuk menambat bot akibat daripada muara sungai sempit.

"Setiap tahun ada saja pertambahan bot pukat tunda, namun perlu ada jalan penyelesaian menanganinya," katanya.

Ruang jeti terlalu sempit

Selain itu, katanya, nelayan turut meminta kerajaan negeri membuka bengkel penyelenggaraan dan membaiki bot di kawasan itu.

Wei Seng berkata, nelayan terpaksa membaiki bot mereka ke Sekinchan atau Hutan Melintang, Perak setiap kali bot mereka rosak.

"Ini juga melibatkan faktor kos perjalanan ke sana, selain melihat potensi bidang ini yang perlu diterokai," katanya.

Seorang nelayan, Tan Kim Hock, 57, berkata, buat masa sekarang dia lebih selesa menambat dua bot pukat tunda di pangkalan jeti pendaratan ikan sendiri.

Bagaimanapun, katanya, jika dia membeli sebuah lagi bot, sudah tentu ruang jeti itu semakin sempit.

"Cadangan ini amat baik dan jika ada pembelian bot baru, mungkin nelayan terpaksa sewa di kawasan jeti baru," katanya.

Sinar Harian, semalam melaporkan, kerajaan negeri dalam perancangan membina jeti pelabuhan nelayan bersepadu berciri moden dengan konsep seperti di Taiwan, sekali gus menggantikan jeti konkrit dalam keadaan daif dan uzur pada masa sekarang.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, jeti pelabuhan itu nanti juga diharap dapat menampung penambahan jumlah bot pada masa sekarang, selain mampu diguna pakai dalam tempoh jangka masa 30 tahun akan datang.


Kemaskini pada 2018-08-28 20:58:13 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page