SABAK BERNAM - Fenomena air pasang besar mengakibatkan ban Sungai Air Tawar, runtuh sepanjang kira-kira 20 meter, di sini, awal pagi tadi.

Pengerusi Pengurusan Bencana Daerah Sabak Bernam, Nasir Mamat berkata, limpahan berlaku di zon penampan dan di Dataran Bagan Nakhoda Omar (BNO) sedalam kira-kira 10 sentimeter.

 

Bagaimanapun, katanya, keadaan itu masih terkawal dan tidak mendatangkan risiko banjir di kawasan terbabit.

"Kejadian ini berpunca susulan fenomena air pasang besar bermula hari ini hingga Jumaat yang menyaksikan paras air pasang lebih tinggi daripada biasa.

"Berdasarkan rujukan jadual pasang surut Jeti Bagan Datuk, ketinggian paras air laut naik sehingga 3.3 meter (5.6 meter mengikut bacaan di Pelabuhan Klang) sekitar jam 5 pagi," katanya.

Nasir yang juga Pegawai Daerah Sabak Bernam berkata, meskipun berlaku limpahan air laut masuk ke dalam parit di ban Sungai Air Tawar, namun Jabatan Parit dan Saliran (JPS) mewujudkan kawasan penampan.

"JPS telah merendahkan paras air parit berhampiran lokasi berkenaan untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

" Pam JPS sentiasa bersiap-sedia untuk digunakan sekiranya berlaku banjir," katanya.

Jelas beliau, kaedah digunakan itu sebagai persediaan parit terbabit menampung limpahan air laut masuk akibat ban pecah.

Katanya, pada masa sama, pihaknya juga melakukan pemantauan secara berterusan di beberapa kawasan berisiko lain di daerah ini.

"Pemantauan dijalankan berterusan termasuk di Pintu Air 6 Sekichan, Pintu Air Haji Sirat Sungai Leman dan Pintu Air Sungai Besar Utara serta di Sungai Tebuk Mendeling," katanya.