SABAK BERNAM - Fenomena air pasang besar yang melanda daerah ini mengakibatkan ban Sungai Air Tawar mengalami runtuhan baharu, awal pagi tadi.

Pengerusi Pengurusan Bencana Daerah Sabak Bernam, Nasir Mamat berkata, runtuhan itu dikenal pasti berlaku kira-kira 10 meter daripada ban runtuh, semalam.

 

Menurutnya, runtuhan sepanjang kira-kira 40 meter itu menyebabkan air laut melimpah masuk ke dalam parit berhampiran.

"Limpahan yang masuk ke dalam kawasan penampan itu keluar semula sejurus paras air laut kembali surut," katanya.

Nasir yang juga Pegawai Daerah Sabak Bernam berkata, keadaan itu tidak menjejaskan kawasan tersebut kerana kawasan yang dibanjiri adalah kawasan zon penampan yang telah dikenal pasti sebelum ini.

Sementara itu, Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabak Bernam, Zakaris Agustar berkata, pihaknya akan memasang cerucuk batang kelapa sementara di ban rebak terbabit.

Beliau berkata, langkah itu membantu mempercepatkan pertumbuhan pokok bakau di zon penampan.

"JPS Sabak Bernam telah menjalankan kajian dan melaksanakan kaedah ini di beberapa lokasi dan didapati pokok liar berjaya tumbuh dan membesar dengan cepat.

"Tumbuhan liar ini akan menjadi benteng semula jadi menahan hakisan daripada pukulan ombak, selain kepadatan flora dan fauna di kawasan ini juga akan meningkat," katanya.

Beliau memberitahu, di kawasan itu terdapat ban utama yang masih kukuh dan mampu menahan air limpahan memasuki kampung.

"Ban tersebut juga terlindung daripada pukulan ombak akibat air pasang surut dan ombak daripada kapal nelayan yang melalui Sungai Bernam," katanya.

Semalam Sinar Harian melaporkan, fenomena air pasang besar mengakibatkan ban Sungai Air Tawar, runtuh sepanjang kira-kira 20 meter.

Limpahan berlaku di zon penampan dan di Dataran Bagan Nakhoda Omar (BNO) sedalam kira-kira 10 sentimeter.