SABAK BERNAM - Fenomena air pasang besar mengakibatkan sistem pembetungan ban utama Sungai Air Tawar bocor mengakibatkan berlaku limpahan air laut dari kawasan penampan memasuki parit berhampiran, di sini, pagi tadi.

Pengerusi Pengurusan Bencana Daerah Sabak Bernam, Nasir Mamat berkata, namun pembetung yang ditutup sementara itu tidak mengakibatkan banjir di kawasan kampung berhampiran.

“Keadaan masih terkawal apabila pintu air Tebuk Mendeling dan pintu air Sungai Air Tawar dibuka dan paras air dalam parit kembali surut.

“Sistem pembetungan ini akan ditutup dengan lebih kukuh bagi memastikan perkara sama tidak berulang,” katanya.

Nasir yang juga Pegawai Daerah Sabak Bernam berkata, Jabatan Parit dan Saliran (JPS) dalam perancangan selenggara kebocoran pembetung itu segera.

Selasa lalu, Sinar Harian melaporkan kejadian air pasang besar melanda daerah ini mengakibatkan ban Sungai Air Tawar mengalami runtuhan baharu. Runtuhan itu dikenal pasti berlaku kira-kira 10 meter daripada ban runtuh.