BAGAN NAKHODA OMAR -20 Oktober-  Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang) sentiasa mencari kelainan dalam setiap siri jelajah mendekati rakyat termasuk membantu golongan kurang berkemampuan di negeri ini.

Pengarah Bersekutu, Perhubungan Pelabur dan Komunikasi Strategiknya, Mohd Fauzi Mohd Ghazali berkata, siri jelajah keempat di Kampung Bagan Nakhoda Omar itu melibatkan program kayuhan amal berbasikal sejauh 32 kilometer.

“Konvoi berbasikal kali ini disertai kira-kira 200 peserta termasuk warga kerja Perangsang berkesempatan singgah di dua rumah penduduk bagi menyalurkan sumbangan termasuk rumah seorang warga emas yang uzur dan terlantar sakit dengan menghulurkan bantuan kewangan.

“Selepas itu, kami singgah di sebuah rumah saudara baru bagi menyerahkan bantuan peralatan berniaga seperti khemah, meja dan dapur supaya dapat memulakan perniagaan goreng pisang bagi menyara kehidupan keluarganya,” katanya pada Program Singgah Mesra Perangsang Selangor di Dewan Seri Nakhoda, di sini.

Selain itu, seramai 18 golongan kurang berkemampuan sekitar daerah itu hadir menerima sumbangan berkenaan.

Menurutnya, sebanyak tiga siri jelajah sebelum ini menggunakan pendekatan berbeza antaranya menganjurkan program Aidilfitri di Masjid Kampung Sungai Gulang Gulang, Kuala Selangor.

“Siri kedua jelajah pula program ibadah korban bersama penduduk Kampung Sungai Lang Tengah, Kuala Langat dan diikuti sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19, Shah Alam,” katanya.

“Kita merancang untuk melibatkan agensi keselamatan dan penguatkuasaan bagi merapatkan hubungan bersama agensi terbabit. Bagaimanapun, siri jelajah kelima ini belum ditentukan lokasinya, kemungkinan diadakan di Gombak atau Klang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Perangsang Selangor, Zain Azrai Zainal Abidin berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu memperuntukkan sebanyak RM5 juta pada tahun ini.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM2.6 juta disediakan menerusi Program Rangsangan Tanggungjawab Masyarakat (RTMS) bagi melaksanakan aktiviti komuniti termasuk Program Singgah Mesra Perangsang Selangor.

Program Singgah Mesra Perangsang Selangor adalah program jelajah negeri ini dengan kerjasama Kelab Sahabat Generasi Dinamik Malaysia (Genesis) dan Sinar Harian.