SABAK BERNAM -09 Nov- Pembinaan Lebuh Raya Pesisir Pantai Barat dijangka melonjakkan pembangunan ekonomi penduduk di beberapa kawasan sekitarnya terutama di daerah Sabak Bernam.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, semua pihak tidak kira penjawat awam atau pun penduduk setempat perlu melakukan perubahan sikap seiring pemodenan tersebut.

“Apabila projek itu siap nanti, saya percaya limpahan pembangunan akan berlaku di sekitar kawasan tersebut.

“Kalau rakyat dan pekerja tak berubah sikap, kemungkinan kita akan tertinggal daripada arus kemajuan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Notis 5A dan 4A, Skim Mesra Usia Emas (SMUE) Fasa II serta Penyerahan Bantuan Masjid, Surau, Sekolah Rendah Agama dan Kafa Integrasi di Masjid Taman Padu Permai di sini, hari ini.

Dalam pada itu, menurutnya, terdapat beberapa inisiatif dilakukan kerajaan negeri untuk membantu Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) yang berdepan defisit hasil pendapatan.

“Tapi, MDSB dan Ahli Majlis perlu membuat beberapa keputusan bagi menambah sumber hasil, selain meningkatkan mutu perkhidmatan.

“Jika perbandaran masuk ada caj dikenakan kepada penduduk. Ini perlu dilakukan dan mereka perlu bersedia,” katanya.

Sementara itu, menurutnya, caj parkir yang mungkin dilaksanakan MDSB bermula tahun depan itu perlu dan ia seiiring perkembangan kemajuan.

“Kalau nak dapatkan perkhidmatan lebih baik, MDSB tak boleh dihalang daripada mengutip hasil, sama seperti mahukan anak tapi tak nak isteri mengandung,” katanya.