BUKIT BERUNTUNG - Sekolah Kebangsaan Bukit Beruntung 2 (SKBB2) kekurangan dana sebanyak RM200,000 bagi membina bumbung di tapak perhimpunan sekolah berkenaan.

Penganjuran makan malam amal yang diadakan pihak sekolah pada tahun lalu hanya berjaya memperoleh kutipan RM34,000 bagi tujuan tersebut.

Guru Besarnya, Nor Shakila Kamaluddin berkata, pihaknya masih kekurangan dana menyebabkan impian sekolah untuk melaksanakan projek Teduhan Kasih bagi membina bumbung tapak perhimpunan itu yang tertangguh sejak sekian lama.

 
 

Menurutnya, sekolah berkenaan mempunyai 1,500 murid termasuk 62 murid Pusat Pendidikan Khas dan Integrasi (PPKI) serta 98 guru yang mengajar di dua sesi persekolahan.

“Ketiadaan bumbung beri kesulitan kepada pelajar dan guru terutama ketika waktu cuaca panas sehingga mengundang rasa tak selesa.

“Projek ini dirangka adalah untuk kebaikan semua dan memudahkan aktiviti sekolah dilaksanakan.

“Tahun lepas sekolah anjurkan majlis makan malam untuk tujuan cari dana...kami dapat RM72,000, tapi untuk projek ni hanya tinggal RM34,000 saja sebab bakinya digunakan untuk menampung kos majlis itu,” katanya.

Menurutnya, beliau akan berusaha sedaya mungkin untuk merealisasikan hasrat tersebut memandangkan bakal menamatkan perkhidmatan (bersara) pada 2019.

“Sememangnya memerlukan belanja besar sekurang-kurangnya RM234,000 untuk bina bumbung Teduhan Kasih ini.

“Tapi saya tak akan berputus asa sebab ia hasrat warga sekolah ini.

“Saya sedia untuk berjumpa dengan Menteri Pendidikan sekiranya diminta berbuat demikian demi memastikan Teduhan Kasih ini berjaya dibina,” katanya.

Lakar nama dalam MBOR

Sehubungan itu, pihak pengurusan SKBB2 dan Pertubuhan Kebajikan DRJ (PKDRJ) menjalinkan kerjasama menganjurkan Simposium Busana Pusaka Warisan Melayu bagi mengutip dana untuk tujuan pembinaan bumbung tersebut.

Simposium yang dijangka berlangsung pada November depan menyasarkan kutipan sebanyak RM200,000 dan bakal melakar nama dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai himpunan busana terbesar di negara ini.

Pengerusi PKDRJ, Datuk Roslee Jamaludin berkata, kerjasama tersebut dapat membantu pihak sekolah mengumpul dana diperlukan untuk projek terbabit di samping mengangkat martabat busana Melayu.

Menurutnya, pihak sekolah menyedari kekangan yang dihadapi dan tidak mampu untuk mengumpul dana sebanyak itu jika bergerak sendirian.

“Sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kami sedia bekerjasama dengan pihak sekolah sekaligus mampu memberi impak positif kepada kedua-dua pihak.

“Dijangka lebih 50,000 individu hadir pada perhimpunan terbesar itu dengan memperagakan pakaian busana tradisional Melayu.

“Program ini bukan semata-mata mahu catat nama dalam MBOR tetapi turut mahu memperlihatkan kepada dunia pakaian tradisi Melayu.

“Biasanya busana tradisi yang menjadi kebanggaan serta kemegahan orang Melayu ini hanya dipakai pada majlis tertentu atau perayaan seperti Aidilfitri,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, simposium berkenaan mengetengahkan konsep mudah dengan menghimpunkan seluruh pemilik busana termasuk pertubuhan seni tari dan silat, pertubuhan kebudayaan dan muzik serta pelbagai lagi dalam satu platform berstatus nasional.

“Kita perlukan sokongan semua pihak dalam menjayakan himpunan ini dan kita mahu orang Melayu hadir berbusana pada hari tersebut.

“Pelajar sekolah dan guru akan turut serta memperagakan busana Melayu pada himpunan terbesar itu nanti yang akan berlangsung di pekarangan sekolah berkenaan,” katanya.