BATANG KALI - Akibat penyakit kanser otak tahap empat yang dihadapi membuatkan Sirhans Aqief Aisy Mohd Norishan, 4, hanya mampu terlantar sambil menahan kesakitan.

Ibunya, Suhaila Mohamad, 28, berkata, penyakit anak ketiganya itu mula disedari Ogos tahun lalu apabila anaknya demam dan muntah teruk.

“Mulanya demam biasa saja tetapi apabila dia mula muntah teruk, saya terus bawa dia ke hospital berdekatan tetapi doktor kata tak ada apa.

“Selang beberapa hari kemudian, keadaan Aisy bertambah teruk dan mula diserang sawan dan saya terus bawa dia ke Hospital Selayang.

“Selepas pemeriksaan rapi dibuat, doktor mengesahkan Aisy mempunyai ketumbuhan pada bahagian otak dan memaksa doktor melakukan pembedahan bagi memasukkan tiub ke dalam kepala dan badannya,” katanya ketika ditemui semasa lawatan Adun Batang Kali, Datuk Mat Nadzari di kediamannya.

Menurut Suhaila, susulan kejadian itu, Aisy turut dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama tiga bulan berikutan keadaannya yang semakin kritikal.

“Pada 25 Mei lalu, doktor jangka usianya berbaki sebulan saja lagi tetapi alhamdulillah, Aisy masih bersama kami.

“Kami hanya mampu beri susu khas kepada Aisy dan bergantung kepada ubat sawan.

“Sampai sekarang, Aisy masih menerima rawatan susulan lapan kali sebulan dan memerlukan bekalan susu khas berharga RM160 setin untuk seminggu,” katanya.

Menurutnya, hanya kuasa ALLAH saja kini yang menentukan usia dan ajal Aisy.

“Memandangkan pendapatan suami saya juga tak seberapa dan hanya bekerja di pasar raya, sejujurnya kami tidak mampu berikan susu khas secukupnya kepada Aisy.

“Diharap ada insan sudi hulurkan bantuan kepada Aisy,” katanya.

Dalam pada itu, Mat Nadzari berkata, sebelum ini, beliau pernah melawat Aisy tahun lalu dan berusaha mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).