RASA - Bapa kepada lima anak merayu bantuan kediaman selepas rumah pusaka musnah terbakar dalam kejadian kebakaran minggu lalu.

Tek Eng Joo, 45, berkata, dia dan isteri bersama lima anaknya kini terpaksa menumpang di sebuah balai raya berikutan ketiadaan tempat tinggal.

“Selepas rumah terbakar, kami sekeluarga terpaksa tumpang tidur di pejabat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di sini.

“Sudah seminggu tinggal di sini,  petang ni (semalam) pula kami sekeluarga terpaksa tumpang ke dewan lain...sebab sudah jadi prosedur di sini kami tak boleh tinggal lebih seminggu.

“Di sini pun kami tidur di bahagian perpustakaan dan sangat sempit untuk saya, isteri dan empat anak lain,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, anak sulungnya kini bakal menghadapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

"Saya terpaksa tinggalkan dia menumpang di rumah makciknya, bimbang dia tak selesa tinggal di balai raya dan ganggu fokus untuk periksa.

“Saya dah minta bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tapi belum ada khabar berita lagi.

“Ada Adun kawasan sini beri bantuan RM1,000 tapi tak cukup untuk saya buat bayar deposit rumah sewa,” katanya.

Eng Joo berkata, namun dia bersyukur kerana jiran tetangga ada yang sudi menghulurkan derma dan memberi bantuan baju kepada anak-anaknya.

Katanya, lima anaknya yang masih bersekolah sangat memerlukan bantuan barangan keperluan dan buku rujukan.

“Harap ada pihak yang sudi bantu kami,” katanya.

Sementara itu, Pegawai JKM Hulu Selangor, Abdul Razak Aziz mengesahkan, pihaknya sudah pun memberi bantuan segera sejurus menerima berita berhubung kebakaran tersebut.

“Kita terus beri bantuan berbentuk tilam, tikar dan bantal di pusat pemindahan serta bantuan makanan kepada keluarga berkenaan selama tiga hari.

“Selain itu, bantuan segera turut kita beri sebanyak RM300 untuk setiap keluarga kerana bencana tersebut melibatkan dua keluarga dari Tabung Bencana Segera.

“Cuma bantuan RM5,000 sedang dalam proses kerana bantuan tersebut memerlukan kelulusan daripada pihak pegawai daerah,” katanya.

Tambahnya lagi,  Eng Joo akan diberi bantuan sebanyak RM300, manakala RM400 untuk anak-anaknya

Kepada orang ramai yang  sudi menghulurkan  sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank milik Eng Joo (4622005818)