DENGKIL - Pusat Khidmat Masyarakat Dun Dengkil masih menggalakkan pemohon Baucar Hijrah Selangor untuk memohon bagi menambah modal perniagaan.

Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat Dun Dengkil, Borhan Aman Shah berkata, buat masa ini penyertaan di Sepang khususnya di Dengkil berjumlah 313 pemohon yang telah menerima baucar bantuan masing-masing.

“Sebenarnya baucar ini berasal dari skim Mimbar dan Skimsel yang telah dikemaskinikan.

“Maka wujudlah Hijrah di mana tanpa penjamin dan faedah cumanya dikenakan sedikit caj perkhidmatan serta mempunyai tabungan," katanya dalam Majlis Penyerahan Baucar Hijrah Selangor di Dewan Orang Ramai Dengkil.

Borhan berkata,  penyampaian baucar pinjaman Hijrah kepada 450 peminjam yang bernilai RM2,216 juta untuk daerah Sepang itu bagi membolehkan peniaga memperoleh modal tambahan bagi membantu memperbaiki ekonomi negeri Selangor.

“Golongan sasar adalah peniaga kecil dan sederhana beroperasi di Selangor yang menjalankan perniagaan di rumah, gerai jalanan dan kedai-kedai.

Borhan berharap masyarakat yang layak peka dengan segala bantuan yang disalurkan bagi membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

Sementara itu, kebanyakan penerima yang hadir menyuarakan rasa gembira apabila diberi peluang mendapatkan pinjaman.