BUKIT BERUNTUNG - Tempahan baju raya ditutup seawal Februari lalu selepas kedai jahit menerima tempahan mencukupi mengikut kemampuan untuk disiapkan seminggu sebelum Aidilfitri.

Tukang jahit, Norhaiza Rashidi, 46, berkata, kedainya hanya menetapkan sasaran tempahan baju raya sebanyak 350 pasang sahaja dan jumlah itu sudah diterima pada Februari lalu.

Menurutnya, kesemua tempahan akan disiapkan dan diserahkan kepada pelanggan sebelum minggu akhir Ramadan.

 

“Setiap bulan, kedai saya hanya mengambil tempahan maksimum sebanyak 350 pasang dengan dibantu tiga pekerja.

"Saya ambil tempahan baju raya awal supaya semua tempahan dapat disiapkan dan pelanggan masih mempunyai masa untuk membuat sebarang ubahsuai pakaian.

“Alhamdulillah sepanjang 10 tahun menjadi tukang jahit, saya belum pernah gagal menyiapkan semua tempahan baju raya kerana perancangan awal sudah dibuat,” katanya ketika ditemui di kedainya di Apartmen Kenanga, semalam.

Norhaiza berkata, walaupun tempahan diterima sejak Februari namun kerja menjahit menyiapkan tempahan untuk raya itu hanya dilakukan pada bulan Ramadan.

Menurutnya, pada bulan lain, kerja menjahit membabitkan tempahan baju untuk kegunaan harian dengan jumlah tempahan lebih 100 pasang.

“Saya akan melakukan pemotongan kain manakala tiga pekerja akan menjahit dengan tiga pasang baju kurung dapat disiapkan dalam tempoh 8 jam bekerja.

"Harga upah jahit baju kurung biasa masih kekal RM40 sejak lima tahun lalu dan RM80 untuk upah jahit baju Melayu serta baju kurung moden, RM50 ke atas.

“Tahun ini saya lihat trend kebaya Mak Cun dan kebaya Saloma Peplum yang semakin diminati dan menjadi pilihan pelanggan,” katanya.

Norhaiza berkata, tiga pekerja akan menyiapkan tempahan baju raya di kedai pada waktu bekerja dari jam 9 pagi hingga 6 petang agar tidak mengganggu masa lain terutama tarawih.