BUKIT SENTOSA - Meja niaga belum dibuka, namun pelanggan sudah menunggu dan sanggup beratur sehingga menghampiri waktu berbuka puasa bagi mendapatkan air 'jagung ketagih'.

Peniaga, Norsaadah Masiran, 45, berkata, situasi tersebut adalah di luar jangkaan dengan permintaan yang berganda pada Ramadan tahun ini apabila 19 balang air terjual sehari.

Menurutnya, dia mula menjual air jagung yang diberi nama 'jagung ketagih' itu pada tahun lepas termasuk di Bazar Ramadan Bukit Sentosa
 

Namun tahun ini hanya berniaga di tepi jalan di laluan Bukit Sentosa ke Bukit Beruntung.

“Pati air jagung ini saya peroleh secara francais daripada pembekal di Damansara yang juga saudara sendiri. Saya dulunya hanya suri rumah, tapi selepas saya sendiri rasa air jagung ni, saya ambil keputusan untuk jual bermula di sebuah karnival pada tahun lepas.  

“Kemudian saya cuba jual di bazar Ramadan. Tak sangka dapat permintaan menggalakkan sehingga tujuh balang habis terjual sehari,” katanya.

Saadah berkata, dia tidak memohon sewa tapak bazar Ramadan tahun ini kerana tiada hasrat berniaga berikutan tahap kesihatannya kurang baik.

Menurutnya, suami dan anak menyatakan keinginan untuk terus menjual air sebelum mengambil keputusan membuka meja niaga di tepi jalan berkenaan.

“Kami memang tak sangka permintaan kali ini lebih tinggi berbanding tahun lepas. Sebelum saya sampai dalam jam 4 petang, dah ada pelanggan menunggu.

Setiap hari saya tambahkan jumlah jualan tapi tetap tak mencukupi sehingga ada pelanggan pulang tanpa sempat membeli.

“Harga sangat berpatutan dengan cawan besar dijual RM2.50 manakala plastik ikut saiz antara RM3 hingga RM4,” katanya.