KUALA KUBU BHARU - Pelbagai jenis mercun bernilai hampir RM30,000 dirampas hasil tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 44 tahun di sebuah rumah di Gedangsa, Jumaat lepas.

Tangkapan jam 4 petang itu menjumpai sejumlah mercun di bilik stor rumah berkenaan yang disimpan sejak dua minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam berkata, suspek merupakan seorang peneroka Felda dan dipercayai menjadi pengedar bahan letupan itu

Menurutnya, hasil siasatan mendapati simpanan mercun itu diperoleh dari kawasan Rawang untuk pasaran sekitar Hulu Selangor sempena hari raya nanti.

“Suspek tiada rekod jenayah lampau atau pernah ditahan berhubung kesalahan sama sebelum ini namun siasatan masih sedang dijalankan.

“Tempoh reman yang berakhir hari ini akan disambung tiga hari lagi bagi melengkapkan kertas siasatan untuk pendakwaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, semalam.

Supramaniam berkata, pihak polis turut mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang urusan jual beli mercun secara atas talian.

Menurutnya, walaupun tiada sebarang aduan berkaitan perkara itu namun berharap agar orang ramai segera menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui pihak yang menawarkan penjualan sedemikian.