KUALA KUBU BHARU - Tiga lelaki yang menyamun seorang pengawal keselamatan dengan bersenjatakan parang di Serendah pada Isnin lalu berjaya diberkas dalam tempoh kurang 24 jam.

Dalam kejadian samun kira-kira jam 2.50 pagi itu, kaki dan tangan mangsa diikat dalam pondok pengawal keselamatan sebelum suspek melarikan wang RM3,300 berserta telefon bimbit.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam berkata, polis  berjaya menahan tiga suspek berusia lingkungan 20 hingga 40an, kira-kira jam 12.30 pagi keesokan harinya.

Menurutnya, tangkapan dilakukan di kawasan berhampiran lokasi kejadian dan siasatan mendapati salah seorang suspek adalah individu dikenali mangsa.

“Seorang daripada suspek juga mempunyai enam rekod jenayah lampau bersabit kesalahan samun dan dadah.

“Turut dijumpai enam paket plastik disyaki dadah dalam sebuah beg galas milik suspek.

“Pihak polis turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan samun selain radio kenderaan dan bateri jentera berat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, semalam.

Supramaniam berkata, ketiga suspek ditahan reman tiga hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun dan Seksyen 391 (1) Akta Dadah Berbayaha 1952.