HULU SELANGOR - Suami maut manakala isteri kritikal dan anak cedera apabila pacuan empat roda dinaiki terlibat dalam kemalangan membabitkan dua lori lain di Kilometer 363.6 Lebuh Raya Utara Selatan, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 petang itu, pemandu pacuan empat roda jenis Ssangyong, K Subramaniam, 61, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Isterinya, T Ramaloama, 55, mengalami kecederaan parah dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Slim River sementara anak, Naahvin, 27, hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam berkata, tiga beranak itu beralamat di Pantai Remis, Perak dan dalam perjalanan menuju ke arah Selatan.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah lori jenis Hino cuba memotong pacuan empat roda dengan memasuki lorong laju di sebelah kanan.

"Ketika hendak masuk semula ke lorong tengah, lori Hino berkaan menghimpit pacuan empat roda dan menyebabkan kenderaan dinaiki tiga beranak ini cuba untuk mengelak.

"Pacuan empat roda berkenaa masuk ke lorong kiri dan pada masa sama terdapat sebuah lori yang membawa muatan pasir halus," katanya.

Supramaniam berkata, lori pasir itu cuba mengelak namun terbabas melanggar penghadang kiri lebuh raya sebelum terbalik di bahu jalan.

Menurutnya, lori Hino dan pacuan empat roda terbabit turut sama terbabas ke bahu jalan sert terbalik.

"Pemandu lori pasir berusia 22 tahun cedera ringan dan pemandu lori Hino berusia 43 tahun tidak mengalami kecederaan.

"Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Slim River manakala pemandu pacuan empat roda yang maut dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat," katanya.

Kes disiasat di bawah 41(1) Akta Pengankutan Jalan 1987.