RASA - Beberapa jentera pengorek digunakan untuk mengeluarkan sisa bahan getah dan plastik bagi melancarkan kerja pemadaman kebakaran sebuah kilang yang kini memasuki hari ketiga.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Kamil Hamadan berkata, api sukar dipadamkan sepenuhnya berikutan terdapat lapisan plastik yang menghalang air ke bahagian lain.

Menurutnya, jentera pengorek itu membantu mempercepatkan kerja pemadaman ke seluruh bahagian yang terbakar kilang pengumpulan sarung tangan itu.

“Hampir 50 anggota dari lima balai bomba dan penyelamat terlibat dalam operasi ini dengan kerjasama beberapa agensi lain.

“Kita sedang giat menggandakan usaha memadam kebakaran secara terperinci tanpa henti yang kini memasuki hari ketiga.

“Kebakaran berjaya dikawal daripada merebak pada hari pertama kejadian,” katanya.

Sementara itu, Adun Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong berkata, kebakaran kilang tersebut menyebabkan asap tebal merebak ke kawasan lima penempatan membabitkan dua kampung dan lima taman perumahan.

Menurutnya, terdapat aduan daripada penduduk terbabit yang bimbangi tahap kesihatan mereka terjejas akibat menghidu asap hitam itu selain pedih mata.

“Kita sudah edarkan penutup mulut dan hidung kepada penduduk dan pasukan penyelamat yang terlibat dalam kerja pemadaman kebakaran.

“Selain jentera pengorek dari Jabatan Kerja Raya (JKR), kita akan sewa beberapa jentolak bagi mempercepatkan lagi kerja mengeluarkan sisa bahan plastik dan getah agar api dapat dipadam sepenuhnya.

“Pemantauan dilakukan berterusan oleh pihak yang berkenaan dan kita amat berterima kasih kepada pasukan penyelamat apabila bertungkus-lumus siang dan malam memadam kebakaran,”katanya.