BATANG KALI - Lokasi laluan terpencil dan kurang dilalui kenderaan antara faktor yang sering dijadikan pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah secara haram terutama di bahu jalan.

Begitu juga yang berlaku di jalan Batang Kali ke Genting Highlands melalui Hulu Tamu apabila terdapat longgokan sampah termasuk sisa bahan bangunan.

Seorang pekerja swasta, Mohd Hanif Sadon, 27, berkata, dia sering menggunakan laluan tersebut untuk berulang-alik dari tempat kerja di Genting Highlands.

Menurutnya, tempat pembuangan sampah secara haram itu wujud sejak beberapa tahun lalu dan jumlah sampah semakin bertambah.

“Apabila ada orang yang mula membuang sampah di situ, maka akan ada orang lain yang akan ikut perangai sama tanpa memikirkan kesan buruk akibat sikap tidak bertanggungjawab mereka. Memang nampak remeh tetapi jika tidak dibendung, dikhuatiri perbuatan sebegini akan melarat dan menyebabkan lebih banyak kawasan sampah haram wujud.

“Laluan Batang Kali ke Genting Highlands ini memang kurang kenderaan lalu dan mungkin sebab itu orang boleh sesuka hati buang sampah kerana orang lain tidak nampak terutama pada waktu malam,” katanya.

Tambahnya, selain sampah sisa makanan, terdapat juga barangan rumah seperti perabot yang dibuang dan dibakar di lokasi berkenaan.

Menurutnya, longgokan sampah haram itu menarik kehadiran anjing liar dan menyakitkan pandangan seakan tiada tindakan diambil oleh pihak berwajib.

“Ada pula yang buang sampah di tepi jalan dalam ladang kelapa sawit berdekatan simpang masuk ke Hulu Tamu dan jika dibiarkan, saya yakin makin ramai yang buang sampah di sini,” katanya.

Enggan guna tong sampah

Berlainan pula yang berlaku di tempat pembuangan sampah berdekatan laluan Batang Kali ke simpang masuk Kampung Sungai Masin.

Tong sampah disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT) namun masih terdapat individu yang membuang sampah di luar tong sampah tersebut.

image
Terdapat individu membuang sampah di luar tong sampah disediakan dan dibiarkan.

Sikap tidak bertanggungjawab itu menyebabkan kawasan berkenaan kotor dengan bau busuk apabila sampah di luar tong sampah dibiarkan bertaburan.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Khairul berkata, terdapat beberapa longgok sampah di dalam beg plastik hitam bersaiz besar yang dibiarkan di lereng bukit berdekatan longkang jalan.

Menurutnya, kebiasaan sampah yang dibuang di luar tong sampah tidak akan dikutip ketika kerja menguti sampah dilakukan.

“Ini bukan perkara baharu kerana memang ramai orang kita yang suka buang sampah di luar tong sampah. Sikap sebegini yang menyebabkan tempat pembuangan sampah kotor kerana masih ada sampah tertinggal.

“Sesiapa yang lalu di jalan Hulu Tamu ke Genting Highlands pasti akan nampak keadaan tempat ini dan ada longgokan sampah hampir dengan jalan raya,” katanya.

Saiz tong sampah jadi punca

Sementara itu di Kampung Sentosa, penduduk mendakwa bahawa saiz tong sampah tidak bersesuaian menyebabkan segelintir individu membuang sampah di luar tong sampah yang disediakan.

image
Sikap tidak bertanggungjawab membuang sampah di tepi jalan dalam kawasan ladang kelapa sawit.

Longgokan sampah di Lorong 2 berhadapan padang awam itu memburukkan pandangan dan akan bertaburan jika diselongkar anjing liar.

Penduduk, Mohd Izahar Zainol berkata, tong sampah bersaiz besar diperlukan bagi mengatasi masalah longgokan sampah tersebut yang semakin bertambah sejak dua bulan lepas.

Menurutnya, kehadiran anjing liar pada sebelah malam menyebakan sampah berkenaan bertaburan dengan sisa makanan berbau busuk.

“Penduduk di sini ramai dan tidak semua ada tong sampah di hadapan rumah masing-masing maka sampah akan dibuang di tempat pembuangan sampah disediakan. Penduduk harap agar tong sampah sedia ada yang kecil ini ditukar kepada saiz lebih besar bagi menampung jumlah sampah dibuang,” katanya.