HULU SELANGOR - Tujuh beranak tinggal sehelai sepinggang selepas rumah dan kedai runcit milik mereka di Kampung Sungai Buaya hangus terbakar dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang, semalam.

Mangsa turut kehilangan wang tunai RM22,000 selain barang kemas dan sebuah kereta Proton Wira serta tiga motosikal jenis Yamaha 125, Nouvo LC dan Honda EX5.

Kerugiaan dianggarkan berjumlah RM350,000 dan ketika kejadian, kesemua tujuh beranak itu tiada di tempat kejadian.

Mangsa, Yusof Ismail, 47, berkata, dia dan isteri keluar berniaga ikan di pasar malam Bukit Sentosa bersama adik ipar serta anak bongsu berusia sembilan tahun.

"Anak keempat pula pulang ke asrama di Kedah manakala yang lain juga tiada di rumah kerana urusan masing-masing.

"Kebiasaan kami buka kedai runcit tapi hari ini (semalam), kedai tutup sebab anak keempat ke asrama untuk mengambil barang kerana sudah tamat belajar.

"Tiada apa yang dapat diselamatkan dan buat sementara waktu, kami menumpang teduh di Bilik Gerakan Umno Cawangan Sungai Buaya,"katanya.