SUNGAI BUAYA - Tujuh beranak yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah kedai mereka hangus dalam kebakaran di Sungai Buaya kelmarin merayu bantuan orang ramai bagi menampung kos mendapatkan tempat tinggal baharu.

Mangsa, Laila Ashaari, 44, berkata, dia tujuh beranak kini menumpang teduh di sebuah bilik gerakan di kampung berkenaan untuk tempoh tiga hari.

Menurutnya, mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang namun perlu membina kehidupan baharu termasuk mencari kediaman lain.

“Nak dapat rumah sewa baru pun kena pakai duit untuk bayar deposit. Saya juga kena tampung perbelanjaan harian kerana semua barang terbakar.

“Kereta dan tiga motosikal anak juga terbakar. Ia menjejaskan pergerakan harian malah anak perempuan bongsu umur sembilan tahun masih bersekolah.

“Kami bersyukur sebab ada pihak yang benarkan kami tinggal sementara di bilik gerakan ini. Jika tidak, tak tahu ke mana nak pergi,” katanya ketika menerima kunjungan Ahli Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), June Leow, semalam.

Laila berkata, agensi berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan bantuan keperluan asas selain sumbangan pelbagai pihak bagi meringankan beban tujuk beranak itu.

Menurutnya, kebakaran turut membabitkan kedai runcit yang diusahakan bersama suami sejak 2003 dan hangus sepenuhnya dalam kejadian tersebut.

“Tiada apa yang dapat diselamatkan namun bersyukur kebakaran tidak libatkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

“Bukan mudah nak bina semula kehidupan dengan simpanan terhad tapi kami reda dengan ketentuan ALLAH,” katanya.