BATANG KALI - Pengguna mempertikaikan kadar caj bayaran parkir kenderaan di stesen KTM Batang Kali yang dilaksanakan sejak lebih sebulan lalu.

Adun Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong berkata, pihak Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) perlu memantau operasi perniagaan itu dan mengkaji semula kadar bayaran yang membebankan.

Menurutnya, kadar bayaran yang dikenakan juga tinggi dengan RM4 bagi kereta manakala motosikal RM1 untuk sekali masuk.

"Kadar ini agak membebankan pengguna yang rata-rata mempertikaikan bayaran tersebut bagi meringankan beban mereka yang menggunakan perkhidmatan komuter setiap hari.

“Saya dapati kutipan bayaran meletak kenderaan ini tidak mendapat sebarang kebenaran daripada MDHS maka ia tidak boleh dilaksanakan.

“Saya akan menulis surat kepada menteri pengangkutan berhubung perkara ini demi kebaikan pengguna agar perkhidmatan awam menjadi pilihan mereka,” katanya ketika melakukan tinjauan di kawasan berkenaan, semalam.

Hadir sama, Ahli MDHS, Jack Law dan Ong Thiam Hock.

Kee Hiong berkata, caj bayaran di tempat meletak kenderaan itu tidak sepatutnya dikenakan kerana merupakan kemudahan yang disediakan kepada pengguna pengangkutan awam.

Menurutnya, orang ramai termasuk di kawasan luar dari Kuala Lumpur memilih menggunakan kemudahan komuter untuk berulang-alik kerja bagi menjimatkan masa dan kos.

“Maka jangan pula mebebankan rakyat dengan mengenakan bayaran untuk meletakkan kenderaan dan perlu mendapat kebenaran jika mahu berbuat demikian. Kita tak mahu kutipan bayaran dilakukan sewenang-wenangnya kerana ia beri kesan kepada rakyat,” katanya.