HULU YAM - Air bukit dipercayai mempunyai khasiat tersendiri selain kelainan rasa yang memikat orang ramai untuk mengamalkan meminumnya setiap hari.

Seorang pekerja swasta, Kishnan Abdullah, 52, berkata, air bukit yang diperoleh di laluan Hulu Yam-Gombak menjadi sumber air minuman setiap hari sejak 17 tahun lalu.

Menurutnya, jarak hampir 10 kilometer dari kediamannya di Hulu Yam dengan lokasi air bukit itu memudahkannya mendapatkan bekalan untuk keperluan empat beranak.

“Pada tahun 2000 saya pindah dari Bandar Sunway dan masa lalu kawasan ni, saya ternampak ramai orang yang berhenti di tepi jalan untuk menadah air bukit.“Selepas cuba minum memang rasanya berbeza daripada air mineral atau air paip dirumah kerana air bukit tiada klorin dan sangat jernih. Sudah 17 tahun saya amalkan minum setiap hari dan tadah air ini sekerap mungkin untuk penuhkan tong simpanan air di rumah,” katanya.

image
Laluan Hulu Yam-Gombak menjadi tumpuan orang ramai mendapatkan air bukit.

Kishnan berkata, terdapat empat paip dipercayai sepanjang 24 kaki ke dalam lereng bukit yang dipasang ketika laluan bersempadan Hulu Selangor-Gombak itu dibina pada awal 1990an.

“Orang ramai yang selalu ambil air di kawasan ini percaya setiap saluran yang disediakan mempunyai kualiti dan khasiat berbeza. Dua paip pertama yang mengalir perlahan ini saya dapati lebih sejuk dan selepas kita minum tekak akan rasa lebih basah berbanding air di saluran tiga dan empat.

“Dulu saya pernah bagi air ni kepada ibu mentua dan dia simpan di bawah para sehingga 12 tahun tapi warna air tetap jernih dan tiada keladak. Air bukit di saluran pertama ni kalau letak dalam kotak barang di belakang motosikal dan bila sampai rumah, saya tengok ada wap air di luar botol,” katanya.

Mampu ubati kencing manis

Pasangan suami isteri, Mohd Jamaluddin Bakri, 61 dan Siti Mariam Musa, 56, yang menghidap kencing manis percaya bahawa amalan minum air bukit mampu mengawal kadar bacaan penyakit tersebut.

Siti Mariam berkata, dia menghidap kencing manis sejak beberapa tahun lalu sebelum disahkan pulih pada Ramadan lepas manakala kadar kencing manis suami  turun di tahap 9 dari bacaan 18.

“Kawan suami beritahu air bukit ada banyak khasiat terutama untuk pesakit kencing manis.

“Sudah tiga tahun kami amalkan minum air bukit setiap hari dan saya yakin air ini mampu kawal kadar gula dalam badan dalam masa sama makan ubat hospital. Alhamdulillah, saya tak ada lagi kencing manis,” katanya.

Mohd Jamaluddin berkata, dia dan isteri memerlukan satu botol dengan isi padu lima liter untuk diminum setiap hari.

“Kebiasaan saya ajak isteri untuk pergi tadah air bukit dan paling kurang 10 botol kami penuhkan dan kami datang hari Rabu sebab tak ramai orang.  Air bukit ada penggemarnya sebab rasa lebih sedap tanpa klorin dan badan rasa segar selain bertenaga. Mungkin sebab air ini semula jadi,” katanya.