BUKIT SENTOSA - Seorang kakitangan Perodua maut selepas motosikal ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda di Jalan Persiaran Ros, Bandar Baru Bukit Sentosa, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam berkata, mangsa Muhammad Mu’azlami Iqil Pea’i, 20,  yang menunggang sendirian motosikal Yamaha 125Z terlibat kemalangan itu kira-kira jam 7.45 malam.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux memasuki persimpangan ke Jalan Jejarum 1 dan pada masa sama, motosikal ditunggang mangsa dari arah Pulapol Bukit Sentosa hendak masuk persimpangan bertentangan.

“Perlanggaran kuat pada bahagian hadapan sebelah kiri Hilux menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

 

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat dan kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Bagaimanapun, pemandu Hilux berusia 50 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.