KUALA KUBU BHARU - Kerajaan yakin golongan huffaz sentiasa terpelihara daripada gejala negatif dan tidak terpengaruh atau terlibat dengan elemen ekstremis, liberal dan ajaran sesat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Datuk Dusuki berkata, kerajaan turut meletakkan kepercayaan tinggi terhadap penghafaz al-Quran dari melakukan perbuatan pecah amanah, membuat dan menyebarkan fitnah dan berakhlak.

Menurutnya, graduan pusat pengajian tahfiz diingatkan bahawa segala perbuatan baik akan mendatangkan manfaat manakala yang buruk akan mudarat dan penyesalan di masa akan datang.

“Apa yang lebih dikesali, perbuatan negatif yang dilakukan bukan sahaja mencemarkan maruah sendiri dan keluarga tetapi memburukkan nama baik pusat pengajian tahfiz itu sendiri.

“Golongan agamawan turut terpalit maka jagalah maruah selari dengan akhlak sebagai seorang penghafaz al-Quran,” katanya ketika menyempurnakan perasmian Istiadat Konvokesyen Darul Quran Jakim Kali Ke-26, semalam.

Hadir sama, Hadir sama, Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha.

Asryraf Wajdi berkata, kerajaan komited membela generasi huffaz termasuk pelajar-pelajar tahfiz di maahad tahfiz swasta yang kini tumbuh seperti cendawan selepas hujan.

Menurutnya, pelajar berkenaan turut diberi ruang untuk melanjutkan pengajian bersifat arus sela memperkenalkan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) sebagai usaha memperkasakan pendidikan tahfiz di negara ini.

“Kita sedar bahawa dalam membangunkan modal insan berimpak tinggi ini banyak perbelanjaan diperlukan merangkumi peruntukan mengurus tadbir, pembiayaan biasiswa dan penyediaan prasarana. Namun kerajaan memberi komitmen yang serius ke arah melahirkan generasi huffaz yang terbilang bagi memandu masyarakat ke arah kesejahteraan duniawi dan ukhrawi,” katanya.