KUALA KUBU BHARU - Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Kuala Kubu Bharu berjaya melahirkan graduan autisme yang pertama apabila menamatkan pengajian tahfiz dengan keupayaan menghafal 30 juzuk al-Quran.

Graduan Diploma al-Quran, Ahmad Zahiruddin Zailani, 21, membuktikan insan istimewa dengan masalah autisme sejak lahir bukan kekurangan untuk bergelar seorang huffaz cemerlang.

Anak kepada pasangan Zailani Ahmad, 49, dan Hanes Mohd Nasir, 47, itu berjaya menghafal al-Quran dalam tempoh dua tahun tiga bulan berbanding tiga tahun pengajian dan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Cemerlang Kategori Autisme pada Konvokesyen Darul Quran Jakim.

Ahmad Zahiruddin berkata, sebagai manusia biasa dia turut berdepan pelbagai cabaran ketika memulakan pengajian apabila hanya mampu menghafal satu muka surat Al-Quran sahaja dalam sehari.

“Bagi memastikan saya dapat menghafal dengan baik dalam tempoh pengajian, saya akan sentiasa bawa al-Quran selain meminta bantuan rakan dan ustaz.

"Saya bersyukur walaupun dilahirkan sebagai insan istimewa kerana bagi saya, jika ada kemahuan dan kesungguhan pasti ALLAH akan memudahkan,” katanya.

Pada majlis konvokesyen tersebut, seramai 615 graduan menerima diploma dan sijil pengajian masing-masing yang disampaikan Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha.

Manakala majlis penyampaian anugerah kecemerlangan disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Othman berkata, konvokesyen tahun ini turut mengiktiraf Program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Bidang Pengurusan Masjid Tahap 3 membabitkan 20 graduan sebagai perintis.

Menurutnya, Darul Quran Jakim kini merancang pelan peningkatan kemahiran daripada SKM Tahap 3 kepada Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM).

“Sejak penubuhan pusat pengajian ini pada 1966 hingga 2016, Darul Quran berjaya melahirkan seramai 6,472 graduan huffaz melalui program diploma dan sijil tahfiz al-Quran,” katanya.