HULU BERNAM - Sungai Benam dekat Kampung Sungai Selisek dipercayai tercemar yang didakwa berpunca akibat pembuangan sisa tinja ayam dari sebuah kawasan penternakan ayam.

Pencemaran sungai tersebut menyebabkan Loji Sungai Selisek terpaksa ditutup sementara dan mengakibatkan enam penempatan terputus bekalan air bersih sejak pagi semalam.

Kawasan terlibat adalah Kampung Sungai Selisek, Kampung Serigala, Rumah Murah, Gesir Tengah, Kampung Bahom dan Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Geo Kosmo.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Selisek, Ishak Ahmad berkata, penduduk yang bekerja sebagai nelayan mengesyaki sungai itu tercemar selepas menyedari beberapa ikan dan udang terapung mati, lewat tengah malam kelmarin.

“Saya difahamkan bahawa pihak Air Selangor yang turun ke lokasi dan mengenal pasti punca pencemaran namun tindakan lanjut belum diketahui.

"Pencemaran ini perlu diatasi segera kerana pernah berlaku lapan tahun lepas dan akan beri kesan kepada nelayan sungai dan menjejaskan bekalan air bersih ke rumah penduduk,” katanya.

Seorang nelayan sungai, Zaihan Harun, 40an, berkata, persatuan nelayan di kawasan berkenaan memandang serius perkara tersebut.

Menurutnya, dia mencadangkan agar reban ternakan ayam yang membuang sisa tinja secara terus ke Sungai Selisek itu ditutup atau dipindahkan ke lokasi lain.

“Aduan dah dibuat tapi kita tak nampak apa tindakan diambil dan jika dibiarkan, penduduk yang menanggung akibatnya,” katanya.