BUKIT BERUNTUNG - Seorang pekerja kilang cedera di leher akibat dicekik penyamun selepas mengeluarkan wang dari mesin ATM di sebuah kedai 24 jam di Bukit Beruntung, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa yang berusia 21 tahun kehilangan RM270 apabila disamun dua lelaki tanpa bersenjata dengan salah seorang memakai topeng muka.

Mangsa berkata, dia mengeluarkan wang dari mesin ATM di kedai berkenaan selepas pulang dari tempat kerja untuk diberikan kepada ibunya.

Menurutnya, sebaik memasuki kereta yang diletakkan di depan kedai berkenaan, dia terkejut apabila pintu kereta di bahagian belakang (kanan) dan penumpang hadapan dibuka individu tidak dikenali.

"Saya terkejut dan lelaki di sebelah belakang memakai topi muka meminta saya serahkan wang yang baru dikeluarkan dari ATM tadi.

"Bila saya tak mahu bagi sebab duit ini nak beri kepada ibu, lelaki bertopeng itu mencekik leher saya dengan kuat sampai susah nak bernafas.

"Lelaki yang berada di sebelah saya (bahagian penumpang hadapan) tidak pakai topeng muka dan berjanggut, paksa saya serahkan wang dan ugut akan cederakan saya," katanya.

Mangsa berkata, selepas menyerahkan wang berjumlah RM270, dua lelaki berkenaan segera melarikan diri ke arah lorong bangunan.

Menurutnya, dia cuba mengejar namun penyamun tersebut berjaya meloloskan diri dengan menunggang motosikal.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Bukit Sentosa pada jam 7.23 pagi.