HULU SELANGOR - Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan dipandu merempuh belakang sebuah lori treler di Kilometer 423 Lebuh Raya Utara Selatan (arah Utara), kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, mangsa, V Dewen, 49, meninggal dunia ditempatkan kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, mangsa yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan itu memandu sendirian dari arah Bukit Beruntung menghala ke Bukit Tagar.

Menurutnya, lori dipandu mangsa dipercayai gagal dikawal sebelum merempuh belakang treler berkenaan yang berada di lorong kiri.

"Rempuhan kuat menyebabkan mangsa tersepit di bahagian pemandu sebelum berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu.

"Paramedik dari Hospital Sungai Buloh mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 4.58 petang akibat parah di kepala dan badan.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat manakala pemandu treler berusia 42 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Kamil Hamadan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 4.49 petang sebelum tujuh anggota termasuk pegawai ke lokasi kejadian.

Menurutnya, anggota berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam tempoh kurang 20 minit dengan menggunakan peralatan penyelamat dan operasi tamat pada jam 5.35 petang.