BUKIT SENTOSA - Seorang pelajar tingkatan lima patah tangan kiri apabila motosikal ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di persimpangan Jalan Persiaran Majlis dan Jalan Jejarum, tengah hari tadi.

Mangsa, Mohd Firdaus Paizol, 17, yang menunggang motosikal Yamaha 135 turut mengalami kecederaan di bahagian bahu dan rahang dalam kemalangan kira-kira jam 12.20 tengah hari itu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, pelajar terbabit dalam perjalanan pulang ke rumah selepas habis waktu persekolahan.

Menurutnya, mangsa yang menunggang sendirian dari Jalan Jejarum mahu membelok ke kanan memasuki Jalan Persiaran Majlis.

"Ketika berbuat demikian, motosikal ditunggang mangsa melanggar sisi sebuah kereta Proton Waja di laluan berkenaan (Jalan Persiaran Majlis).

"Perlanggaran menyebabkan mangsa patah tangan kiri selain cedera di bahu dan rahang manakala motosikal mengalami kerosakan bahagian hadapan dengan tayar tercabut.

"Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Selayang dan dilaporkan stabil sementara pemandu Waja berusia 47 tahun tidak cedera,"katanya.