BATANG KALI - Anggota bomba dan penyelamat terpaksa memecahkan mangkuk tandas bagi mengeluarkan kaki seorang kanak-kanak yang tersangkut dalam lubang tandas rumahnya di Kampung Pasir Tambahan, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa, Muhammad Waitul Rahman Mansor Abdullah, 7, difahamkan masuk ke tandas untuk mandi namun tergelincir dan menyebabkan kaki kiri tersangkut.

Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Rosdi Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada jam 11.37 pagi sebelum bergegas ke rumah mangsa.

Menurutnya, bahagian buku lali kaki kiri mangsa tersangkut pada lubang mangkuk tandas dan mangsa terpaksa menahan kesakitan lebih sejam sementara operasi menyelamat dilakukan.

"Difahamkan mangsa mahu mandi tapi kaki tergelincir lalu tersangkut sebelum keluarga menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.

"Pihak bomba menggunakan peralatan khas dan terpaksa memecahkan sebahagian mangkuk tandas berkenaan selepas usaha awal menggunakan minyak pelincir tidak membuahkan hasil.

"Anggota mengambil masa lebih kurang 25 minit sebelum berjaya mengeluarkan kaki kanak-kanak tersebut yang mengalami kecederaan ringan dan lebam,"katanya.

Rosdi berkata, ibu bapa mangsa dinasihati agar membawa kanak-kanak itu ke klinik bagi mendapatkan rawatan lanjut sekiranya kesam lebam tidak menunjukkan perubahan positif.