SUNGAI BUAYA - Persatuan Penduduk Bandar Sungai Buaya (PPBSB) mendesak kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Hulu Selangor agar menyelesaikan isu hak milik individu rumah yang berlarutan sejak 20 tahun lalu.

Yang Dipertua PPBSB, Fadghullah Ibrahim berkata, permasalahan membabitkan 3,000 rumah di Bandar Sungai Buaya itu mengundangkan implikasi lain terutama menyukarkan pemilik menjual kediaman masing-masing.

Menurutnya, perumahan tersebut dibuka pada 1996 dengan menawarkan hak milik individu seperti mana yang terkandung dalam surat perjanjian jual beli.

“Sebahagian besar pembeli sudah melangsaikan bayaran pinjaman dengan bank namun yang menjadi permasalahan sekarang adalah isu hak milik individu rumah.

“Pihak pemaju sudah perjelaskan bahawa pelbagai usaha sudah dilakukan untuk mendapatkan hak milik individu itu melalui PTD Hulu Selangor namun gagal.

“Oleh demikian, pemilik rumah mendesak agar kerajaan negeri beri perhatian serius terhadap perkara ini,” katanya pada Mesyuarat Agung Khas PPBSB berhubung isu itu, semalam.

Fadghullah berkata, Sijil Kelayakan Menduduki (CFO) diperoleh pihak pemaju sebelum serahan kunci kepada pembeli dan ketiadaan status hak milik menyebabkan harga tanah lebih rendah walaupun berada di pinggir bandar.

Katanya, pihak persatuan berjaya mengumpulkan 270 tanda tangan pemilik untuk satu memorandum yang akan diserahkan kepada Menteri Besar dan PTD Hulu Selangor, minggu depan.

“Tandatangan yang kita peroleh pada mesyuarat khas hari ini (semalam) dan dijangka lebih ramai akan berbuat demikian.

“Ini adalah usaha kami bagi mendesak kerajaan negeri selesaikan isu hak milik individu rumah dengan segera,” katanya.