HULU BERNAM - Dua beranak yang meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Bahau-Keratong petang semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Tengi Selatan jam 6 petang.

Allahyarham Nordiana Nordin, 37, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anaknya, Allahyarham Puteri Nursha Sara Zainal, 10, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Jempol kira-kira jam 9 malam, hari kejadian.

Sementara, suami, Zainal Kinto, 38, cedera di bahagian kaki dan seorang lagi anak, Mohammad Nifzal, 11, yang mengalami patah tangan kiri kini menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Nordin Mat Som, 62, iaitu bapa kepada Allahyarham Nordiana berkata, pada waktu yang sama ketika kejadian berlaku, dia ke Kuala Selangor dengan menumpang kereta seorang rakan.

"Pak cik duduk di sebelah pemandu dan memang lebih kurang dalam jam 4.30 petang (waktu kemalangan berlaku), mata dah nak terlelap tapi tersentak sebelum tiba-tiba ternampak sekilas lalu kereta menantu (Nissan Navara).

"Warna hitam dan nombor pendataran pun sama.. kereta Zainal selisih tepi tapi bila pak cik toleh ke belakang... tak ada.

"Masa itu tidak terfikir ap-apa benda buruk sebab pelik kerana Zainal anak-beranak masih ada di Rompin.. tapi macam mana boleh selisih kat sini," katanya.

Nordin menyifatkan Allahyarham Nordiana adalah anak yang baik dan sangat penyabar serta kali terakhir mereka berjumpa di majlis perkahwinan sepupu Allahyarham, minggu lepas.

Menurutnya, anak sulung itu sempat berkirim salam kepadanya ketika menghubungi emak, Rosminah Sarimun, 58, sebelum bertolak ke Rompin.

"Allahyarham banyak bantu kerana pak cik menghidap kanser limpfoma dan rajin balik ke kampung di Felda Sungai Tengi Selatan,"katanya.

Kemalangan tersebut dipercayai berlaku apabila Nissan Navara dinaiki empat beranak itu yang dalam perjalanan pulang dari Rompin ke rumah mereka di Salak Tinggi dirempuh sebuah pacuan empat roda Mitsubishi Triton dari arah belakang.

Rempuhan kuat menyebabkan Nissan Navara terbabit hilang kawalan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan dua lagi kenderaan dari arah hadapan.

Kemalangan itu turut mengakibatkan seorang lagi maut iaitu Pemandu Perodua Myvi, Mohd Saufi Mohd Sidek, 33, yang baharu dua minggu menimang cahaya mata kedua.