BUKIT SENTOSA - Mayat seorang lelaki warga negara Myanmar ditemui di dalam longkang berhampiran loji sisa kumbahan di Jalan Semarak dekat Bukit Beruntung, petang semalam.

Identiti mayat berkenaan dikenal pasti sebagai Khianat Thein, 30, berdasarkan dokumen peribadi yang ditemui pada mangsa.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, mayat yang lengkap berpakaian dalam keadaan reput itu dijumpai oleh orang awal kira-kira jam 6.40 petang.

Menurutnya, dokumen peribadi dalam beg sandang pada mayat berkenaan menunjukkan mangsa merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

"Keadaan mayat telah reput dan dipercayai sudah lama berada di dalam longkang tersebut dan turut dijumpai, satu beg sandang berisi barang keperluan peribadi si mati.

"Mangsa percayai tergelincir sebelum terjatuh ke dalam longkang terbabit dan pemeriksaan pada badan mangsa mendapati tiada sebarang kesan kecederaan fizikal.

"Mayat berkenaan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.