KUALA KUBU BHARU - Seorang lelaki maut dan empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 12 Jalan Batang Kali - Genting Highlands, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai, berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 3.30 pagi.

Menurutnya,  insiden  dipercayai berlaku apabila sebuah Proton Wira yang datang dari arah Batang Kali menuju Genting Highlands dikatakan hilang kawalan ketika melalui lokasi kejadian, masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Toyota Almera yang datang dari arah hadapan.

"Mangsa, Mohd Saiful Mohd Hashim, 35, maut di lokasi kerana hentakan di dada. Penumpang kereta itu, seorang wanita, Aza Alfa Aludin, 37, dari Pulau Pinang, patah kaki.

“Turut cedera parah adalah pemandu Toyota Almera dikenali sebagai Ng Guan Soon, 27, bersama dua penumpang wanita, Prakai Sae-See, 49, dan Prakai Soe-See, 55.

“Semua mangsa yang parah dibawa ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan,” katanya.

Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987