KUALA KUBU BHARU - Ketika usia meniti lebih separuh abad, sudah pasti perhatian daripada anak-anak sering ditagih golongan warga emas.

Namun tidak semua bernasib baik apabila masih ramai yang hidup kesepian di rumah orang-orang tua selepas ditinggalkan anak sendiri atas alasan tertentu.

Mereka tidak mengharapkan satu tempoh masa yang lama tetapi cukup sekadar menemani seketika kerana ia sudah memadai untuk menceriakan hari seorang insan bergelar warga emas.

Sehubungan itu, Taska Comel Niya dan Kelab Peminat Kereta Mini Malaysia (KPKMM) mengambil inisiatif membawa 20 warga emas dari Rumah Ehsan (RE) ‘meronda’ Pekan Kuala Kubu Bharu dengan menaiki kereta mini klasik model Austin MK3.

Seronok berjalan keliling  pekan

Seorang penghuni RE, Bedah Abdullah, 70, mengakui teruja apabila berpeluang melihat persekitaran Pekan Kuala Kubu Bharu dan menyaksikan pemandangan Empangan Sungai Selangor berhampiran Kampung Pertak.

“Makcik tak dapat berjalan sendiri dan sentiasa kena pakai kerusi roda. Makcik seronok bila ada orang bawa keluar jalan-jalan sebab asyik terperap saja dalam rumah.

“Paling seronok dapat naik kereta mini klasik, makcik tak pernah lagi naik kereta cantik macam ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Menurutnya, pengalaman itu pertama kali dilalui bersama rakan senasib sejak mendiami rumah berkenaan.

Seorang lagi penghuni, Norlia Said, 52, berkata, dia amat terharu dengan keprihatinan Taska Comel Niya dan KPKMM yang sudi menceriakan penghuni RE bersempena program Berkongsi Rezeki dan Kasih Sayang.

Menurutnya, hasrat untuk melihat suasana di pekan tercapai dan menganggap seperti dibawa berjalan oleh anak sendiri.

“Sudah lima tahun makcik tinggal sini dan ini kali pertama dapat berjalan walaupun bukan anak sendiri yang bawa. Makcik gembira sangat sebab ada yang sudi jenguk kami dan sedia kongsi kasih sayang.

“Makcik reda ketentuan ALLAH dan bersyukur sebab dikurniakan kesihatan yang baik dan ada ramai kawan sama nasib menemani sepanjang hari,” katanya.

Norlia berkata, kebiasaan penghuni RE dibawa keluar untuk menghadiri majlis tertentu seperti berbuka puasa namun bersiar-siar menaiki kereta mini klasik adalah satu pengalaman berbeza.

Gamit nostalgia kereta mini  

Sementara itu, Pengetua RE, Mariani Mohamed Saad berkata, kebanyakan waris penghuni di rumah berkenaan tidak datang untuk membawa keluar ibu bapa mereka sejak lima tahun lalu.

Menurutnya, situasi tersebut menyebabkan penghuni berusia 37 hingga 90 tahun itu meluahkan hasrat untuk bersiar walaupun sekejap melihat persekitaran luar.

“Apabila ada pihak yang sedia memenuhi hasrat mereka, ternyata inisiatif ini menceriakan penghuni walaupun hanya 20 orang sahaja daripada 120 penghuni yang berpeluang bersiar-siar atas faktor kesihatan.

“Masa hampir sejam itu pasti meninggalkan kenangan manis buat mereka dan tambah istimewa, mereka dibawa menaiki kereta mini klasik. Mereka kata kalau dapat bawa pusing-pusing Pekan Kuala Kubu Bharu pun dah cukup.

“Kami amat mengalu-alukan penglibatan orang ramai dan mana-mana untuk tampil melaksanakan program sedemikian dalam kumpulan yang lebih besar bagi menghiburkan hati penghuni di sini,” katanya.

Ahli jawatankuasa KPKMM, Effendy Shohaili berkata, program Kongsi Rezeki dan Kasih Sayang bersama warga RE itu dapat menggamit nostalgia warga emas menaiki kereta mini klasik.

Menurutnya, kelab berkenaan bekerjasama dengan beberapa taska lain bagi melaksanakan program tersebut membabitkan golongan warga emas selain aktiviti korban sempena Aidiladha.