BUKIT BERUNTUNG - Seorang pekerja resort berasakan seperti bermimpi di siang hari apabila berjaya membawa pulang sebuah kereta selepas memenangi hadiah pertama cabutan bertuah cukai taksiran Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

Ibu kepada tiga anak ini, Ang Siew Thin, 59, merupakan salah seorang pembayar cukai taksiran di daerah ini dengan pembayaran secara konsisten hampir RM800 setahun sejak tiga tahun lalu.

Hiew Thin berkata, sebelum ini dia telah mempunyai sebuah kereta namun diberikan kepada anak untuk kegunaan harian dan berulang-alik ke tempat kerja.

 
 

Menurutnya, kereta jenis Proton Saga yang dimenanginya itu dianggap sebagai pengganti dan memudahkannya ke tempat kerja di Kalumpang.

“Biasanya suami akan hantar saya ke tempat kerja setiap hari lebih kurang 20 kilometer dari rumah di Bukit Beruntung. Rasa macam bermimpi di siang hari sebab tak sangka akan menang cabutan bertuah tempat pertama dan saya sangat gembira.

“Memang saya berharap dapat hadiah cabutan bertuah. Tapi tak letakkan harapan sebagai pemenang pertama,” katanya pada acara cabutan bertuah tersebut bersempena Sambutan Hari Malaysia peringkat Daerah Hulu Selangor, kelmarin.

Majlis cabutan dan penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Yang Dipertua MDHS, Azman Dahlan bersama Pengarah Jabatan Perbendaharaan MDHS, Saiful Rizza Piamin dan Ahli Majlis MDHS, June Leow.

Tempat kedua berupa sebuah motosikal Yamaha Ego Solaris dimenangi Woon Nyet Goh dari Bukit Beruntung manakala telefon bimbit iPhone 7 di tempat ketiga milik Tan Chon Tee.

Sebanyak 33 cabutan bertuah disediakan bernilai lebih RM150,000 antaranya GoPro Hero 5, komputer riba, iPhone, peti sejuk dan barangan elektrik yang lain.