KUALA KUBU BHARU - Tiga beranak tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Taman Arif Utama terbakar kira-kira jam 8.30 malam, kelmarin.

Ketika kejadian, mangsa, Amir Zulzikri Kamaruzaman, 27, yang juga anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Hulu Selangor keluar ke Rawang bersama isteri dan anak mereka berusia lapan bulan.

Amir berkata, dia keluar dari rumah pada jam 6.30 petang untuk membeli kelengkapan anak sebelum menerima panggilan telefon daripada tempat isterinya bekerja.

 
 

“Isteri saya bekerja di sebuah klinik swasta di Kuala Kubu Bharu dan jiran menghubungi klinik berkenaan bagi memaklumkan kejadian Kebakaran.

“Mungkin jiran ingat isteri saya bekerja masa tu. Lepas tu, kami gegas balik rumah. Sampai dalam jam 9.30 malam dan dapati semua kelengkapan rumah dah terbakar.

“Api pun dah dipadamkan pihak bomba. Tak ada apa yang sempat diselamatkan. Kami rugi hampir RM30,000,” katanya.

Amir berkata, seorang individu menghulurkan bantuan dengan menaja rumah inap di taman berkenaan sebagai penginapan sementara selama dua malam.

Menurutnya, dia amat memerlukan sumbangan untuk keperluan anaknya termasuk pakaian, lampin pakai buang dan susu.

“Rumah ni adalah milik ayah. Tapi ayah sekarang berada di kampung, sebab nak jaga atok yang tak berapa sihat.

“Saya pun buntu tak tahu mana nak tidur esok malam (hari ini). Saya lebih runsing memikirkan keperluan anak yang masih berusia lapan bulan ini.

“Pada malam kejadian, jabatan kebajikan masyarakat (JKM) ada daberi bantuan kelengkapan tidur selain sumbangan dari jawatankuasa kampung,” katanya kepada Sinar Harian.