HULU SELANGOR - Surau Al Muttaqin Antara Gapi bersama Jawatankuasa Penduduk Antara Gapi membantah penjualan minuman keras (arak) di sebuah cawangan kedai serbaneka di kawasan berkenaan sejak setahun lalu.

Sehubungan itu, satu surat bantahan ditandatangani lebih 400 penduduk diserahkan kepada pengurus kedai tersebut selepas solat Jumaat, baru-baru ini.

Pengerusi surau, Aezman Shahruddin berkata, pihaknya menerima pelbagai aduan berhubung penjualan arak itu yang mendatangkan kesan negatif terhadap keharmonian dan keselamatan penduduk terutama di bawah umur.

 
 

Menurutnya, beberapa siri perjumpaan dilakukan bersama penduduk bagi mencapai kata sepakat untuk membantah penjualan tersebut.

“Bantahan mengambil kira beberapa faktor terutama kawasan ini majoritinya didiami penduduk Islam maka penjualan arak akan mendatangkan kemudaratan dan kemungkaran.

“Walaupun pelanggan bukan beragama Islam termasuk warga asing yang membeli arak di kedai ini namun ia mengancam keselamatan apabila pernah berlaku pergaduhan sesama mereka akibat berada di bawah pengaruh alkohol.

“Kedai ini terletak hampir dengan sekolah rendah maka mendedahkan pelajar yang masih bawah umur kepada gejala negatif seperti maksiat dan mungkar,” katanya ketika menyerahkan surat bantahan kepada pengurus kedai berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Amar Makruf Nahi Mungkar surau itu, Anuar Mohd Ibnu berkata, premis kedai tersebut juga berhampiran dengan sebuah sekolah tahfiz yang menempatkan golongan pelajar Islam.

“Kedai lain di kawasan ini juga majoriti adalah Islam maka penjualan arak tidak membantu jualan di kedai serbaneka tersebut dan tidak sepatutnya dijual,” katanya.