KUALA KUBU BHARU - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki berusia 62 tahun yang hilang ketika pergi memancing di Sungai Selangor dekat jalan Kuala Kubu Bharu - Bukit Fraser diteruskan memasuki hari keenam, hari ini.

Mangsa, Zulkafli Shaari dikatakan keluar memancing  seorang diri kira-kira jam 3 petang pada Rabu lalu ke sungai berkenaan lebih kurang 35 kilometer dari rumahnya di Kampung Gumut Kerling dengan menunggang motosikal.

Laporan polis dibuat keluarga mangsa pada Khamis selepas 24 jam mangsa gagal dihubungi sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan bermula Jumaat dengan pos kawalan dibuka di Sangkar Dua dekat Kampung Pertak.

Pada hari kedua (Sabtu), pasukan SAR menjumpai motosikal milik mangsa yang ditinggalkan hampir 50 meter dari jalan utama iaitu lebih kurang lapan kilometer menghala ke Bukit Fraser.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Kamil Hamadan, berkata, pos kawalan operasi SAR berpindah ke lokasi berhampiran penemuan motosikal itu dengan radius pencarian seluas tujuh kilometer membabitkan lebih 90 anggota.

Pasukan SAR membabitkan anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Anjing Pengesan K9 PDRM, Unit Penyelamat Di Air (Scuba) Bomba, Kelab Pelancongan dan Rekreasi Hulu Selangor, orang awam dan ahli keluarga.