KUALA KUBU BHARU - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki berusia 62 tahun yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu di Jalan Kuala Kubu Bharu-Bukit Fraser masih diteruskan.

Operasi berkenaan turut dibantu 30 sukarelawan terdiri daripada kalangan pendaki gunung dan penduduk setempat.

Seramai 13 ahli Mountain Search and Rescue Society Malaysia (Mosars) menyertai operasi tersebut selain 12 pendaki bebas dari Penyamun Adventure Team mewakili Kelab Pelancongan dan Rekreasi Hulu Selangor serta pemuda Orang Asli Kampung Pertak.

 
 

Pegawai Operasi Mosars, Seri Hidayat Esthaufik berkata, Mosars adalah badan bukan kerajaan (NGO) dengan ahli daripada kalangan pendaki gunung yang mempunyai pelbagai kemahiran untuk bantu operasi mencari dan menyelamat di hutan.  

Menurutnya, Mosars menyertai operasi tersebut sejak kelmarin dengan memasuki semula kawasan dipercayai laluan mangsa.

“Mengikut maklumat operasi pada Ahad hari ketiga, pasukan SAR ada mengesan bau busuk di laluan berkenaan namun tidak menjumpai sebarang petunjuk.  Kami meneliti semula kawasan disyaki secara menyeluruh dengan menyusuri sungai bagi mengenal pasti punca bau busuk itu yang mungkin juga dari binatang.

“Kami bergerak dalam kumpulan bersama anggota bomba dan polis serta menandakan laluan bagi menentukan kedudukan pencarian agar tidak tertinggal sebarang petunjuk,” katanya.  

Pendaki bebas dari Kelab Pelancongan dan Rekreasi Hulu Selangor, Nur Diana Che Ani, 33, berkata, seramai 12 ahli kelab berkenaan turut membantu secara bergilir sejak tiga hari lalu.   

“Kita akan cari apa juga bukti yang boleh dikaitkan dengan mangsa. Kita ambil gambar sebelum memaklumkan kepada pegawai SAR,” katanya.  

Seorang pemuda Orang Asli Kampung Pertak, Erwan Jipin, 37, berkata, lima pemuda dari kampung berkenaan turut bantu operasi dengan melakukan pencarian di laluan hutan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Kamil Hamadan berkata, operasi SAR memasuki hari ketujuh semalam membabitkan 94 anggota pelbagai agensi termasuk sukarelawan dan ahli keluarga.

Pada Rabu lepas, mangsa, Zulkafli Mohd Shaari, 62, dikatakan keluar memancing seorang diri di sungai berkenaan sebelum keluarga membuat laporan polis selepas mangsa gagal dihubungi lebih 24 jam kemudian.