KUALA KUBU BHARU - Lelaki berusia 62 tahun yang dilaporkan hilang ketika keluar memancing di Sungai Selangor di Jalan Kuala Kubu Bharu - Bukit Fraser sejak Khamis lalu ditemui meninggal dunia.

Mangsa yang juga bekas anggota tentera, Zulkafli Shaari dijumpai berdekatan sebatang pokok dengan lengkap berpakaian dan sebatang joran terpeluk erat di badan.

Sebuah beg galas turut dijumpai pada badan mangsa di lokasi kira-kira dua kilometer dari pusat kawalan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kelapan, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Kamil Hamadan, berkata, penemuan tersebut diperoleh hasil maklumat penduduk tempatan pada jam 12 tengah hari sebelum pasukan SAR tiba di lokasi berkenaan, jam 1.45 petang.

Menurutnya, pengecaman dibuat oleh ahli keluarga sebelum mayat mangsa diusung keluar melalui laluan hutan dengan bantuan anggota pelbagai agensi sejauh 300 meter ke jalan utama.

"Lokasi mayat mangsa tidak jauh daei sungai dan berjaya dibawa keluar pada jam 4.50 petang sebelum dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasatan.

"Operasi SAR hari kelapan hari ini bermula jam 9 pagi dengan kekuatan 116 anggota termasuk sukarelawan dan tamat pada jam 5.30 petang.

"Kami merakam terima kasih kepada semua anggota terlibat termasuk sukarelawan sejak hari pertama SAR bermula Jumaat lepas,"katanya.

Sementara itu, penduduk Orang Asli Kampung Pertak, Jipi Haus, 60, berkata, dia membantu operasi SAR dengan memulakan pencarian merintis laluan hutan seawal jam 9 pagi bersama dua anak dan seorang cucu.

Menurutnya, keputusan untuk mencari mangsa yang hilang itu diambil bagi memenuhi permintaan isteri selepas anak perempuan berusia 32 tahun bermimpikan mengenai kejadian tersebut.

"Malam tadi, anak perempuan saya bermimpi nampak bayangan seperti roh di sebuah pokok besar. Isteri suruh saya pergi cari dekat pokok besar itu dan lebih kurang sudah tiga jam berjalan dalam hutan.. baru kami sampai ke pokok itu.

"Sebelum nak sampai pokok, kami terbau wangi menyebabkan saya merasakan ada sesuatu di sin... jadi kami berhenti makan dahulu kerana lapar,"katanya.

Anaknya, Erwan, 37, berkata, ketika sedang menjamah makanan, bau wangi tersebut berkurangan tetapi bertukar bau busuk dengan cahaya matahari yang sebelumnya terlindung oleh pokok kembali menerangi kawasan berkenaan.

Menurutnya, mayat mangsa lengkap berpakaian ditemui berdekatan pokok besar jenis Meranti  itu dan sebatang joran masih terpeluk erat pada badan mangsa.

"Kawasan pokok ini tiada talian telefon maka saya terpaksa keluar ke jalan utama lebih kurang dua kilometer untuk hubungi talian kecemasan 999, "katanya.