BUKIT SENTOSA - Book2U Stores telah membuka cawangan kedai buku Book2U yang keempat beroperasi di Bukit Sentosa sejak Julai lalu.

Berikutan pembukaan cawangan terbabit, Pertandingan Me’Reqa’ Cipta diadakan dengan anjuran bersama Reqa Toys bagi memperkenalkan kedai buku tersebut kepada masyarakat setempat.

Pengurus Book2U, Nor Akma Abdul Majid berkata, Reqa Toys merupakan sebuah jenama permainan yang berupaya mengasah dan mencungkil bakat kreatif terutama bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

 
 

Menurutnya, Reqa Toys juga digilai golongan dewasa yang menjadikannya sebagai hobi dan produk itu boleh didapati di  Petrosains.

“Pertandingan terbahagi kepada tiga kategori membabitkan lebih 200 peserta dengan menawarkan wang tunai, baucar Book2U dan set permainan tajaan Reqa Toys.

 

“Antara pemenang adalah Sekolah Kebangsaan Bukit Beruntung 2 (SKBB2) iaitu juara dalam kategori C iaitu antara sekolah yang memenangi wang tunai dan baucar bernilai RM170 serta set binaan Aisyah bernilai RM399.

“Berdasarkan sokongan yang diberi, tidak mustahil Book2u akan mengadakan banyak lagi pertandingan seperti ini di masa akan datang,” katanya.

Penyelia Book2U di Bukit Sentosa, Nursyamimy Akmal Mohd Salleh berkata, kedudukan kedai buku Book2U di Bukit Sentosa sangat strategik kerana berdekatan kawasan penempatan dan sekolah serta merupakan cawangan keempat selepas Kuala Selangor, Rawang dan Jenjarom.

Katanya, sejak pembukaan Julai lalu, pengunjung berpuas hati apabila Book2U menyediakan pelbagai variasi yang memenuhi keperluan mereka.