HULU SELANGOR - Jenazah Orang Besar Daerah (OBD) Hulu Selangor, Datuk Aman Shah Mohd Shahar, 72, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rasa kira-kira jam 10.30 malam tadi.

Allahyarham disahkan meninggal dunia pada jam 6.58 petang di Hospital Selayang selepas menerima rawatan di hospital tersebut sejak 24 November lalu akibat penyakit barah hati.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Al Kholidiah Rasa yang turut disertai Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi memberi penghormatan terakhir.

Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Rahimah Pateh Akhir, 65, dan lima orang anak.

Pegawai Daerah Hulu Selangor, Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, urusan pengkebumian jenazah dilakukan  Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Selangor, Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dengan dibantu agensi berkaitan serta pihak surau.