KUALA KUBU BHARU - Pelajar cemerlang Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) di  Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Kubu Bharu  mengikut jejak langkah dua kakaknya apabila memperoleh keputusan A dalam semua mata pelajaran.

Anak ketiga daripada empat beradik, Fazrin Wanisha Ishak, 15, melakar sejarah sebagai satu-satunya calon mendapat 11A di sekolah tersebut pada keputusan PT3 yang diumumkan, hari ini.

Terdahulu, dua kakaknya, Nurul Sahida dan Azwa Ishwana yang menduduki peperiksaan bagi tingkatan tiga di sekolah sama, turut cemerlang dengan keputusan 8A.

Nurul Sahida meneruskan kecemerlangan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan 9A dan kini melanjutkan pelajaran jurusan perubatan dan pembedahan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Buloh.

Manakala Azwa baharu selesai menduduki SPM di sekolah tersebut.Lebih membanggakan, ketiga adik-beradik itu mengekalkan kecemerlangan masing-masing apabila menyapu bersih A dalam semua mata pelajaran dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan 5A.Manakala adik bongsu mereka, Izza Hakieda akan memasuki darjah enam pada tahun hadapan dan bakal menduduki UPSR yang kini dikenali sebagai Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Kubu Bharu 2.

Bapa kepada empat beradik perempuan itu, Ishak Abdul Aziz, 47, berkata, dia bersyukur di atas kecemerlangan anak-anaknya dalam peperiksaan tersebut termasuk keputusan 11A dalam PT3 yang diperoleh Fazrin.Menurutnya, pencapaian yang dibuktikan adalah hasil usaha anak tanpa memberikan sebarang tekanan dengan sasaran 'wajib' semua A dalam mata pelajaran diambil."Bagi saya, setiap anak ada kemampuan masing-masing namun bersyukur apabila Fazrin mengikut jejak dua kakaknya... ini satu bonus dan kebanggan kepada saya dan ibunya.

"Saya tidak mahu anak-anak berasa tertekan sebaliknya mahu mereka belajar dalam keadaan selesa agar mudah memahami apa yang dipelajari di sekolah,"katanya.