KUALA KUBU BHARU - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengiktiraf Perkhemahan Antarabangsa Kadet Remaja Sekolah (KRS) Musleh 2017 (Print'17) apabila berjaya menghimpunkan lebih 4,000 peserta termasuk dari Indonesia dan Thailand.

Peserta Thailand terdiri daripada ahli Looksue Assalam di Assalam Smart School Association manakala peserta Indonesia dari Jaringan Sekolah Islam Terpadu (JSIT).

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk P Kamalanathan berkata, penganjuran perkhemahan antarabangsa kali keempat itu buat  julung kalinya membabitkan jumlah peserta teramai tanpa menggunakan peruntukkan KPM.

Menurutnya, pihak penganjur menguruskan perbelanjaan dengan inisiatif sendiri dan peserta mengeluarkan bayaran mengikut kadar tertentu bagi menyertai program selama tiga hari itu.

 

"Saya difahamkan peserta membayar yuran sendiri dan pihak penganjur pula melakukan urusan secara terus dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) berbanding sebelum ini melalui sekolah terbabit.

"Terdapat tiga negeri terlibat iaitu Kedah, Perak dan Johor maka saya berharap agar semua JPN lain mengambil bahagian pada penganjuran akan datang," katanya pada majlis perasmian penutup Print'17 di Kem Bina Semangat Ampang Pecah.

Hadir sama, Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad dan Penaung KRS Musleh, Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor.

Kamalanathan berkata, pengisian program dengan pelbagai aktiviti termasuk latihan lasak memberi pendedahan kepada peserta bagi membina jati diri dan keyakinan melalui semangat berpasukan.

Menurutnya, program tersebut menjadi pemangkin kepada pelapis kepimpinan negara selain dapat berkongsi dan memahami budaya negara lain.

"Secara peribadi saya kagum dengan program dianjurkan ini kerana menghimpunkan peserta yang ramai dan berjalan dengan baik serta membuktikan kemampuan pemimpin NGO," katanya.