BUKIT BERUNTUNG - "Walaupun sepasang baju sekolah sahaja tapi saya sangat hargai dan macam tidak percaya kali pertama dapat bantuan sebegini," kata seorang ibu kepada lima anak, Norhayati Sadikin, 45.

Norhayati merupakan antara 40 keluarga dari Taman Bunga Raya (TBR) yang menerima bantuan pakaian sekolah untuk anak masing-masing dari Pertubuhan Kebajikan Datuk Roslee Jamaludin (PKDRJ) melalui Program Bantuan Pakaian Sekolah Sesi 2018 di sebuah pasar raya, kelmarin.

Katanya, dia bersyukur apabila anak bongsunya, Muhammad Noor Hamizan Abd Hadi, 10, mempunyai pakaian sekolah yang baharu memandangkan belum berkesempatan untuk membeli kerana kekangan masa selain faktor kewangan.

"Saya hanya bekerja sebagai tukang masak di Pusat Permata Negara, Apartment Kenanga TBR dan perlu berjimat bagi menampung keperluan anak lain termasuk anak kedua yang sedang belajar pengajian diploma di sebuah kolej vokasional.

"Alhamdulillah kerana PKDRJ memberi sumbangan yang sememangnya meringankan beban ibu bapa dan penjaga kurang berkemampuan," katanya.

Seorang kakak, Nurul Aina Aizzaty Abdul Talib, 16, berkata, adik bongsunya, Airin Farhana, 9, kelihatan sangat gembira apabila mendapat tahu terpilih untuk menerima baju sekolah baru.

 Menurutnya, Airin tidak meminta untuk dibelikan baju baharu apabila seakan memahami situasi emak yang bekerja sendiri sejak kematian ayah 28 Jun lalu.

"Bila dia tahu ada orang nak berikan baju sekolah baru dia sangat gembira dan sebagai kakak, saya sangat bersyukur.

Sementara itu, Pengerusi PKDRJ, Datuk Roslee Jamaludin berkata, penerima tersebut adalah kumpulan penerima pertama bantuan itu dan akan disusuli dengan kumpulan kedua sebelum sesi persekolahan bermula.

Menurutnya, anak daripada keluarga terbabit masing-masing menerima sepasang baju dan seluar bagi lelaki serta kain dan tudung untuk perempuan.

"Apa yang menggembirakan bila mereka bebas memilih jenis pakaian tanpa mengira harga," katanya.

PKDRJ ditubuhkan seawal 2011 dan didaftarkan secara rasmi pada 2015 dengan tujuan membantu golongan asnaf dan memerlukan.

Roslee berkata, pertubuhan tersebut menggunakan nama beliau sendiri untuk dijadikan satu motivasi untuk menghulurkan bantuan kepada orang lain.

"Pertubuhan ini juga menjalin kerjasama erat dengan pusat zakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA), Lembaga Pertubuhan Peladang dan Felda.

"Bantuan disalurkan dalam pelbagai bentuk dengan kerjsama agenai berkenaan tanpa mengiran bangsa, agama dan politik,"katanya.