HULU BERNAM - Peneroka peringkat dua Felda Sungai Tengi Selatan mencatat hasil purata sebanyak 30.34 tan sehektar pada tahun lepas dengan keluasan ladang 306.61 hektar.
Ketua peneroka tanah rancangan itu, Mohd SomIsmail berkata, kejayaan tersebut membabitkan 50 peneroka di peringkat dua yang memperoleh hasil ladang secara konsisten setiap bulan sekurangnya 10 tan seorang.
Menurutnya, perolehan tersebut memberi pendapatan bersih bulanan lebih RM3,500 seorang berdasarkan harga semasa buah tandan segar (BTS) dan kos pengurusan.
"Ladang kami diurus oleh Felda Techno Plant Sdn Bhd (FTP) namun setiap peneroka mengambil inisiatif memantau ladang masing-masing terutama ketika musim menuai bagi memastikan hasil ladang dikeluarkan semaksima mungkin.
"Faktor ini yang membawa kepada kejayaan memperoleh hasil lebih baik apabila peneroka turut bertanggungjawab memantau kerja di ladang walaupun ladang diurus oleh FTP.
"Hasil tahun lepas tinggi berbanding tahun 2016 yang hanya 27 tan sehektar bagi keluasan sama dan diharap tahun ini, kami dapat mengekalkan atau lebih tinggi daripada 30 tan sehektar," katanya.
Kemaskini pada 2018-01-14 11:34:23 daripada Administrator