KUALA KUBU BHARU - Adik kepada seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) meminta bantuan orang ramai bagi mengesan abangnya yang tidak pulang ke rumah sejak 10 hari lalu.
Akhmarullah Hairi, 45, berkata, kebiasaan abangnya, Chewandee Hairi, 50, akan pulang ke rumah selepas habis waktu bekerja di sebuah kedai makan di Pekan Kuala Kubu Bharu selewatnya jam 1 pagi.
Menurutnya, pada hari kejadian, dia menyedari Chewandee yang mempunyai masalah lembam itu tiada di rumah ketika bangun dari tidur dan mahu ke tandas.
"Kami hanya dua beradik dan dia satu-satunya abang saya serta tinggal bersama di Kampung Kelapa memandangkan dia orang kurang upaya (OKU).
"Saya mulanya tidak mengesyaki apa-apa sebab dia pernah tidak balik dua atau tiga hari malah pernah hilang selama seminggu pada dua tahun lepas sebelum dijumpai di Sunway.
"Tapi kali ini sudah masuk 10 hari maka saya mulai bimbang terhadap keselamatan abang memandangkan keadaan dia yang lembam dan daya ingatan yang rendah,"katanya.
Akhmarullah berkata, Chewandee kali terakhir di lihat keluar rumah dengan berpakaian kemeja pendek bercorak petak dan berseluar panjang.
Menurutnya, dia cuba mencari abangnya itu melalui rakan sekerja di kedai makan berkenaan dan bertanyakan kepada penduduk setempat namun Chewandee gagal dikesan.
"Jika abang masih tidak pulang pada hari ini yang masuk hari ke-10, ayah menasihatkan saya membuat laporan polis pada esok hari.
"Kehilangan Chewandee juga sudah diviralkan di media sosial dan saya berharap agar orang ramai yang terlihat atau mempunyai sebarang maklumat agar menghubungi saya di talian 019-4520508," katanya.
Kemaskini pada 2018-02-05 10:29:57 daripada Administrator