HULU BERNAM - Sebuah pusat hemodialisis bakal dibina di Felda Sungai Tengi di sini, bagi menampung keperluan pesakit buah pinggang di empat tanah rancangan Felda dalam Wilayah Trolak.
Ahli Parlimen Hulu Selangor, Datuk P Kamalanathan berkata, terdapat kira-kira 50 pesakit buah pinggang di kawasan tersebut yang kini menerima rawatan pusat dialisis sekitar Slim River, Kuala Kubu Bharu dan Bestari Jaya.
Menurutnya, pesakit menanggung perbelanjaan tinggi apabila perlu menjalani rawatan tiga kali seminggu dengan kadar bayaran RM200 setiap sesi selain kos pengangkutan.
“Pembinaan pusat dialisis ini akan dilaksanakan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF) dengan kerjasama Felda dan Yayasan Felda.
“Perancangan dan pentadbiran telah bermula dengan jangkaan pembinaan siap sepenuhnya pada tahun ini,” katanya ketika meninjau lokasi cadangan pembinaan pusat dialisis itu, kelmarin.
Hadir sama, Pengurus Projek NKF, Husin Harun dan Ahli Lembaga Pengarah Felda, Datuk Mohd Isa Abu Kasim.
Sementara itu, Mohd Isa berkata, beliau menyuarakan cadangan pembinaan pusat dialisis itu sejak tahun lepas dan berbesar hati apabila perkara tersebut mendapat perhatian kerajaan.
Menurutnya, usaha mengumpul dana bagi menampung kos pembinaan turut dicadangkan melalui penganjuran acara golf dan makan malam amal namun tidak dapat dilaksanakan atas faktor tertentu.
“Kehadiran NKF memberi harapan baru bagi merealisasikan hasrat ini untuk dimanfaatkan penduduk terutama pesakit buah pinggang dalam kalangan peneroka,” katanya.
Seorang peneroka Felda Soeharto, Abdul Manap Shaari, 54, berkata, anak sulungnya berusia 27 tahun menghidap sakit buah pinggang dan menerima rawatan dialisis di Bestari Jaya sejak November lalu.
Menurutnya, kos pengangkutan membebankan apabila pusat rawatan itu terletak hampir 40 kilometer.
“Saya harap pusat dialisis ini dapat dibina segera kerana amat diperlukan bagi meringankan beban pesakit,” katanya.
Kemaskini pada 2018-02-08 08:28:48 daripada Administrator